‘Harimau Asia’ sekadar istilah, bukan ukuran sebenar ekonomi, kata pakar

‘Harimau Asia’ sekadar istilah, bukan ukuran sebenar ekonomi, kata pakar

Barjoyai Bardai berkata istilah itu tidak membawa sebarang makna kepada kehidupan rakyat.

Menurut penganalisis ekonomi, kejayaan sebenar yang menjadi ukuran adalah perkembangan ekonomi berterusan kerana rakyat akan mendapat manfaatnya.
PETALING JAYA:
Kecemerlangan ekonomi negara perlu diukur secara kuantitatif dan bukannya dengan istilah tertentu seperti ‘Harimau Asia’ yang tidak membawa sebarang makna kepada kehidupan rakyat, kata pakar ekonomi.
Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai berkata kerajaan sebaliknya harus fokus dan menyasarkan terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan isi rumah dan pendapatan rakyat.

Katanya, istilah ‘Harimau Asia’ hanya gelaran semata-mata, malah sebenarnya tidak ada negara pun diisytiharkan memiliki gelaran berkenaan.

“Itu hanya jolokan, tidak membawa apa-apa makna, kecemerlangan pertumbuhan ekonomi diukur secara kuantitatif diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita sudah buktikan pertumbuhan 7% setahun selama lebih 25 tahun (era 90-an). Itu keajaiban yang tidak pernah berlaku di dunia.

“Sebenarnya tidak ada negara diisytiharkan sebagai negara Harimau Asia. Kerajaan perlu menyasarkan meningkatkan pendapatan rakyat melalui peningkatan produktiviti pekerja.

“Yang penting kita mahu tingkatkan kesejahteraan isi rumah di Malaysia, itu hanya boleh diukur melalui tingkat pendapatan dan kos sara hidup.

“Itu yang sepatutnya ditonjokan, bukan pendapatan per kapita,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang memberangsangkan adalah petunjuk bahawa Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status ‘Harimau Asia’.

Bagaimanapun, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyangkal status itu dengan mengatakan Malaysia tidak pernah menjadi ‘Harimau Asia’ sepertimana didakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Ku Li’ turut memberi peringatan agar tidak bersandar kepada ilusi.

Madeline Berma.

Sementara itu, Felo Institusi Masa Depan (Masa) Madeline Berma, berkata kejayaan sebenar yang menjadi ukuran adalah perkembangan ekonomi berterusan kerana dengan cara itu rakyat akan dapat merasai nikmatnya.

“Itu hanya klasifikasi, yang penting kita capai pertumbuhan ekonomi berkekalan. Kita tidak perlu kejar sesiapa, hanya ikut rentak kita sahaja.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengurus indikator yang dilihat agensi penarafan antarabangsa seperti hutang negara, defisit serta subsidi,” katanya.

Terma ‘Harimau Asia’ popular digunakan pada 1980-an dan 1990-an, untuk menggambarkan kepesatan ekonomi Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong.

Malaysia dikatakan akan menjadi ‘Harimau Asia’ kelima, namun pertumbuhan ekonominya terbantut susulan krisis kewangan Asia pada 1997.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.