
Dalam wawancara dengan FMT, penasihat Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata beliau hanya berkata tiada keperluan DAP berkempen pada PRK berlangsung 17 Ogos depan terbabit.
Jelasnya, dalam satu perbincangan, timbul persoalan sama ada pemimpin DAP perlu dijemput berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN), Azmawi Fikri Abdul Ghani.
“Saya kata, untuk apa pemimpin DAP di sini? Kebanyakan mereka bukan Melayu dan ini (Nenggiri) adalah kawasan 100% Melayu. Jadi, itulah sebabnya. Ia berhenti di situ,” katanya.
Tengku Razaleigh yang dilantik pengarah Umno untuk PRK itu kemudiannya diminta menjelaskan sama ada beliau akan ‘menghalang beberapa orang daripada datang’ berkempen.
“Saya kata tiada keperluan. Mereka tidak perlu datang. Itu kenyataan saya,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak mempunyai kuasa menghalang orang ramai ke Nenggiri atau berkempen.
“Saya membuat kenyataan, di mana (saya berkata) saya tidak fikir ada keperluan untuk DAP pergi ke sana. DAP tidak bertanding. Tidak ada kontroversi, tidak ada apa-apa,” katanya.
Khamis lalu, sebuah portal berita melaporkan Tengku Razaleigh menggesa DAP tidak turun berkempen pada PRK itu dan dilaporkan mempersoalkan kepentingannya datang ke kawasan Melayu.
Beliau dilaporkan berkata bahawa “mereka tidak mahir dalam bahasa Melayu” dan ucapan kempen DAP selalu lebih condong kepada pengundi Cina.
Razaleigh juga dilaporkan berkata DAP akan membuang masa ke Nenggiri dan orang Melayu di kawasan itu “ingin mendengar daripada orang Melayu tentang orang Melayu di sana”.
BN juga menafikan dakwaan komponen itu tidak mahu ahli atau sekutunya dalam kerajaan perpaduan berkempen pada PRK Nenggiri.
Komponen itu menyifatkan dakwaan terbabit sebagai gerakan politik untuk memecahbelahkan kerajaan perpaduan.