Pemuda maut, 4 rakan cedera nahas 7 kenderaan di LPT2

Pemuda maut, 4 rakan cedera nahas 7 kenderaan di LPT2

Mangsa yang maut dikenali sebagai Iqbal Jus Aidil Zaims Sharief, 19, dari Binjai Rendah, Marang.

Polis berkata motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar empat lagi penunggang dan dua kereta.
PETALING JAYA:
Seorang pemuda maut manakala empat rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam nahas tujuh kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Iqbal Jus Aidil Zaims Sharief, 19, dari Binjai Rendah, Marang manakala rakannya yang cedera ialah Muhammad Abdul Hanan Abdul Ghani, 19; Faris Rahimi Arman, 17; Haziq Izham Arif Rahimi, 19, dan Muhammad Farhan Aqil Zainuddin, 18.

Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir berkata, polis menerima laporan pada 11.20 malam dan mangsa sebelum itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Dungun ke Marang.

“Siasatan awal polis mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Iqbal Jus Aidil dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.

“Dalam masa yang sama, empat lagi penunggang yang berada di belakang cuba mengelak lalu terbabas sebelum berlanggar dengan dua kereta iaitu Honda Jazz dan Perodua Alza,” katanya, menurut Harian Metro.

Menurutnya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut namun Iqbal Jus Aidil disahkan meninggal sebaik tiba di hospital berkenaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.