
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan Lim memberi amaran kepada Menteri Fadhlina Sidek supaya tidak berpendirian sama dengan PAS seolah-olah menunjukkan dasar ditetapkan DAP perlu diikuti kerajaan.
“Adakah Guan Eng ingin mengajar YB Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak di perkarangan sekolah itu baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?
“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak di perkarangan sekolah?,” soal Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menyokong Fadhlina yang cuba menjauhkan minuman alkohol dalam kalangan murid sekolah.
“Guan Eng tidak perlu ajar menteri pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik,” katanya merujuk jawatan menteri kewangan disandang Lim ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020.
Semalam, Lim dilaporkan berkata kenyataan Fadhlina berkait kutipan dana untuk sekolah vernakular agak keras dan memintanya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.
Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.
Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.