Jangan sekat sekolah Cina kumpul dana, Lau beritahu kerajaan

Jangan sekat sekolah Cina kumpul dana, Lau beritahu kerajaan

Presiden Gerakan itu berkata, jika pengumpulan dana dihadkan, kerajaan mesti memperuntukkan dana yang cukup untuk sekolah-sekolah ini.

aiman-athirah-sabu-at-sjkc-tche-min-in-sungai-pelek
Presiden Gerakan Dominic Lau berkata, logo Tiger Beer pada cek cura tidak akan mempengaruhi pelajar sekolah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak seharusnya menyekat syarikat tertentu daripada menyumbang dana kepada sekolah sekiranya kerajaan tidak memperuntukkan dana yang mencukupi kepada semua jenis sekolah, kata Gerakan.

Presiden parti itu, Dominic Lau berkata, kerajaan harus faham perkara ini dan tidak menghalang tradisi mengumpul dana yang telah lama wujud di sekolah Cina.

“Dengan bantuan kerajaan yang terhad, (sekolah-sekolah ini) hanya bergantung kepada kegiatan mengumpul dana seperti jualan amal, jamuan makan malam amal, konsert dan persembahan untuk mendapatkan pembiayaan.

“Ini tugas tambahan bagi guru-guru di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina). Jika kutipan dana tidak dibenarkan, maka kerajaan harus memperuntukkan sepenuhnya dana yang diperlukan kepada sekolah-sekolah ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti.

“Kedua, Tiger Beer hanya menaja persembahan, bukan menjual bir pada majlis itu, dan tidak juga secara langsung menyediakan dana untuk sekolah. Semua dana yang diterima ialah sumbangan daripada dermawan dan alumni sekolah.”

Tambahnya, logo Tiger Beer pada cek cura tidak akan mempengaruhi pelajar atau menyebabkan mereka menjadi peminum tegar.

“(Usaha itu) semata-mata tanggungjawab sosial korporat di pihak syarikat.”

Pada Isnin, KPM berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu, dan mengingatkan sekolah supaya mematuhi garis panduan dikeluarkan pada 2018, yang melarang penerimaan sumbangan hasil kegiatan-kegiatan seperti perjudian, serta penjualan tembakau, dadah dan arak.

Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil kemudian berkata, KPM diarah menjelaskan sama ada sekolah Cina boleh menerima sumbangan daripada syarikat yang menjual arak, selepas perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Tiger Beer semalam menafikan memberi sumbangan kepada sekolah dengan berkata, peranannya dalam pengumpulan dana sekolah, yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini, hanya melibatkan persembahan artis tempatan di sebuah konsert.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh sebelum ini menegaskan, Tiger Beer, milik Heineken Malaysia Bhd, telah menganjurkan pengumpulan dana ini selama 30 tahun, mengurangkan beban kewangan kerajaan sambil membolehkan sekolah vernakular menaik taraf prasarana mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.