
Atiqah Syairah Shaharuddin berkata Lim yang berpengalaman luas sebagai Ahli Parlimen dan pentadbiran Pulau Pinang serta persekutuan sepatutnya mengetahui aspek pengurusan krisis bukan bermain isu menyebabkan ketegangan kaum dan agama.
Bagaimanapun, dakwanya, Lim masih lagi bangkitkan isu berkenaan selepas penjelasan Kabinet dan pemimpin PAS tidak lagi bersuara kerana akur dengan garis panduan digunakan sejak sekian lama termasuk ketika pentadbirannya.
“Reaksi diberikan Ahli Parlimen Bagan hari ini (semalam) jelas menunjukkan beliau komited dalam bukan sahaja tidak sependapat dengan menteri pendidikan, tetapi juga keputusan Kabinet.
“Rakan sepasukan parti YB Bagan juga telah membangkitkan isu khusus ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan diputuskan bersama. Bahkan setelah kenyataan media dibuat, mengapa beliau masih lagi menari dalam naratif yang didendangkan oleh pasukan pembangkang?,” katanya dalam kenyataan.
“Jika Fadhlina dikira mengikut telunjuk PAS, YB Lim Guan Eng ikut telunjuk siapa?”
Semalam, Lim dilaporkan berkata kenyataan Fadhlina berkait kutipan dana untuk sekolah vernakular agak keras dan memintanya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.
Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.
Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.