
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pelaksanaan dasar diperkenal 1 Ogos depan itu dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil bawah Akta 588,” katanya dalam kenyataan.
SKMM berkata, sebelum ini, platform-platform itu dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.
“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” katanya.
“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat, serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.”