
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Bukit Aman sudah menerima cadangan daripada ketua polis Perak berhubung tindakan berkenaan.
“Pihak Bukit Aman menerima cadangan itu untuk menahan kerja anggota polis terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Harian Metro.
Semalam, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang bertugas di Perak didakwa membunuh Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira 6 petang lima hari kemudian.