2 maut treler langgar pacuan empat roda

2 maut treler langgar pacuan empat roda

Dua warga emas dan seorang kanak-kanak sembilan tahun yang menaiki Toyota Hilux parah, manakala pemandu treler turut cedera.

Keadaan Toyota Hilux selepas dilanggar sebuah treler dekat Kampung Desa Bakti. (Gambar Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab)
PETALING JAYA:
Dua maut, manakala empat lagi cedera dalam nahas membabitkan pacuan empat roda dan treler di KM145 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan dekat Kampung Desa Bakti di Temerloh.

Dalam kemalangan 1.20 tengah hari, warga tempatan berusia 79 tahun yang memandu Toyota Hilux bersama seorang penumpangnya, warga China berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi penumpang Toyota Hilux terdiri daripada dua warga emas berusia 65 dan 69 tahun serta seorang kanak-kanak sembilan tahun parah.

Seorang lelaki berusia 63 tahun yang memandu treler turut cedera.

Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan berkata treler dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur itu bertembung Toyota Hilux di laluan bertentangan.

“Mangsa parah dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Pemandu treler turut mendapat rawatan di hospital sama,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.