Ulama PAS pertahan hukuman mati bagi kesalahan berat

Ulama PAS pertahan hukuman mati bagi kesalahan berat

Dewan Ulama PAS berkata hukuman mati proses 'memulihkan' masyarakat supaya tidak mengulangi jenayah sama.

Ahmad Yahya
Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya, mempertahankan hukuman mati bagi kesalahan berat.
PETALING JAYA:
Dewan Ulama PAS mempertahankan hukuman mati bagi kesalahan berat, selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dilapor tidak bersetuju dengan hukuman gantung ke atas enam pesalah kerana membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan, Suhakam dilapor berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

Ia juga dilapor berkata penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh bawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab, serta mencegah kejadian sama pada masa depan.

Mengulas aspek pemulihan, Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya berkata “hukuman mati adalah proses ‘memulihkan’ masyarakat di luar supaya tidak mengulangi jenayah yang sama menepati prinsip cegah rintang dalam sesuatu hukuman.”

Berkenaan aspek keadilan pula, Ahmad menegaskan “hukuman mati bagi kesalahan berat dengan beban pembuktian yang sempurna adalah wajar dan memenuhi neraca keadilan.”

Dalam pada itu, hukuman mati dalam kes bunuh terkandung dalam hukuman Qisas undang-undang jenayah Islam, kata Ahmad dalam kenyataan.

“Jika memenuhi syarat beban pembuktian, maka ia adalah keadilan sebenar kepada si mangsa, bahkan juga kepada tertuduh,” katanya.

Undang-undang Islam turut mempunyai hukuman diyat iaitu pampasan kepada keluarga mangsa, serta memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk memaafkan pesalah.

“Kedua-dua perkara ini adalah prinsip perundangan Islam yang kurang diberikan penekanan dalam lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia kerana membunuh Zulfarhan, seorang pegawai kadet laut, tujuh tahun lalu.

Enam pesalah itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Suhakam dilapor berkata bahawa ia mengakui seriusnya jenayah itu, dan memahami kesedihan keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.