Syarikat minuman keras taja konsert, bukan sumbang pada sekolah, kata TPM

Syarikat minuman keras taja konsert, bukan sumbang pada sekolah, kata TPM

Zahid Hamidi berkata wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat minuman keras menyalurkan sumbangan kepada sekolah Cina.

AHMAD ZAHID HAMIDI
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wujud persepsi silap membabitkan dakwaan sebuah syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sebuah sekolah Cina di Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid berkata syarikat minuman keras itu hanya menaja penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan, lapor Berita Harian.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah.

“Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

PAS baru-baru ini mengkritik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, kerana menerima replika cek bernilai RM3 juta yang mempunyai logo Tiger Beer di majlis pengumpulan dana untuk SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Selangor.

Pada Isnin lalu, Kementerian Pendidikan berkata pihaknya sedang menyiasat laporan itu, dan memberi peringatan kepada sekolah untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan pada 2018, yang melarang menerima sebarang sumbangan dari syarikat perjudian, tembakau dan arak.

Tiger Beer semalam menafikan ia membuat sebarang sumbangan kepada sekolah dan berkata peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert (CECC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.