Penolong akauntan mengaku tak salah pecah amanah lebih RM80,000

Penolong akauntan mengaku tak salah pecah amanah lebih RM80,000

Mohd Reimi Ismail, 45, didakwa atas 13 pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang milik kerajaan negeri Perlis.

mahkamah kangar
Tertuduh, Mohd Reimi Ismail, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang milik kerajaan lebih RM80,000 di antara Jun 2018 hingga September 2019. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang penolong akauntan Pejabat Perbendaharaan Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas 13 pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang milik kerajaan lebih RM80,000 di antara Jun 2018 hingga September 2019.

Tertuduh, Mohd Reimi Ismail, 45, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah, menurut Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-13, dia didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah keseluruhan RM81,585.04 kepunyaan kerajaan negeri Perlis di pelbagai bank iaitu CIMB, Maybank dan Bank Simpanan Nasional di daerah Kangar.

Tertuduh didapati melakukan 13 kesalahan itu bermula pada 29 Jun 2018 sehingga 5 September 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang sabit boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Atiqah Mohamad Alias mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Terdahulu, Nurul Atiqah dalam hujahnya memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Perlis setiap bulan.

Syed Muhammad Anwar bagaimanapun membantah jumlah itu dan memohon jaminan yang minimum selain memberi alasan anak guamnya mempunyai enam tanggungan iaitu bapanya yang uzur berusia 71 tahun, isteri serta anak yang berusia antara lima hingga 18 tahun.

Norsalha kemudian mengarahkan tertuduh dijamin RM30,000 dan menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.