KPDN tentukan lokasi penghantaran minyak masak bersubsidi kekang ketirisan

KPDN tentukan lokasi penghantaran minyak masak bersubsidi kekang ketirisan

Amalan sebelum ini syarikat pembungkusan bebas menghantar bekalan minyak masak paket bersubsidi itu kepada premis perniagaan yang memerlukan.

Menteri Armizan Ali berkata KPDN mahu membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan minyak masak paket bersubsidi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menentukan lokasi penghantaran minyak masak paket bersubsidi dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan bahan kawalan itu.

Menteri Armizan Ali berkata, amalan sebelum ini syarikat pembungkusan bebas menghantar bekalan minyak masak paket bersubsidi kepada premis perniagaan yang memerlukan.

“Sekarang bermula arahan dikeluarkan kepada semua pengarah KPDN negeri, mereka berbincang dengan syarikat, dan tetapkan mana pasaraya dan kedai runcit yang perlu dihantar.

“kita akan serahkan senarai kepada syarikat pembungkusan mengikut keperluan,” kata Armizan selepas sesi Townhall Rakyat anjuran Karangkraf, petang tadi.

Usaha itu katanya diambil KPDN selepas audit dijalankan bagi mengenalpasti aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu.

“Sekiranya mereka tak mahu ikut arahan KPDN maka kita akan tarik kuota mereka. Bukan macam dulu mereka yang tentukan, itu sebabnya ada kes syarikat pembungkusan hantar banyak kepada satu-satu restoran.

“Sekarang kita di setiap negeri akan adakan libat urus dengan pihak yang memerlukan bekalan supaya sampai kepada rakyat, kita akan serahkan kepada syarikat pembungkusan, dan mereka kena ikut senarai KPDN,” katanya.

Tambahnya, bekalan minyak masak paket bersubsidi juga akan boleh didapati di setiap program jualan Rahmah.

“Semua program jualan Rahmah sebelum ini tidak ada bekalan minyak. Sekarang ada syarikat pembungkusan akan bekalkan minyak masak paket kepada jualan Rahmah.

“Ini pastikan bekalan minyak paket sampai kepada golongan sasar yang memerlukan,” katanya.

Minyak masak paket bersubsidi merupakan antara barangan kawalan yang disenaraikan di bawah Akta 122 selain 11 barangan lain seperti gula, tepung, petrol dan diesel.

Sementara itu, Armizan juga berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan satu kempen besar-besaran peringkat nasional bagi mengurangkan penggunaan gula oleh rakyat.

“Per kapita dalam setahun setiap orang guna 52 kg gula berdasarkan pembekalan. Itu juga sebab kes obesiti, kes diabetes cukup tinggi,” katanya.

Beliau berkata KPDN dan Kementerian Kewangan membentangkan kepada perdana menteri status bekalan dan penggunaan gula. “Beliau arahkan Kementerian Kesihatan Malaysia laksanakan kempen besar-besaran peringkat nasional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.