
Beliau berkata kelonggaran itu diberikan bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar.
“Kelonggaran diberikan kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi semua transaksi.
“Menerusi kelonggaran itu, LHDN membenarkan semua aktiviti atau industri untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan termasuk e-Invois bil kendiri,” katanya pada sidang media khas mengenai pelaksanaan e-Invois.
Abu Tariq berkata LHDN membenarkan apa-apa deskripsi transaksi dimasukkan di medan ‘Keterangan Produk atau Perkhidmatan’, dan jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, penjual turut dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi.
Beliau berkata dalam tempoh enam bulan, tiada tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan.
“Tempoh kelonggaran yang diberikan ini diharap memberi ruang masa yang mencukupi kepada pembayar cukai untuk memastikan pelaksanaan e-Invois sepenuhnya yang lebih efektif. Ia meliputi kesemua aspek seperti ketersediaan sistem, kelancaran operasi perniagaan dan pengurusan perubahan dalam perniagaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan mengiktiraf pembayar cukai yang berjaya melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan dengan memberikan pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada tiga tahun kepada dua tahun.
Katanya pengurangan tempoh tuntutan elaun modal itu akan diberikan bagi pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi dan pakej perisian komputer berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2024 hingga 2025.
LHDN sebelum ini memaklumkan fasa pertama pelaksanaan e-Invois akan bermula 1 Ogos ini melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Fasa kedua melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta, katanya.