
Adun Merlimau itu mengingatkan Lim bahawa dasar berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.
“Saya nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP yang negara ini agama Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Fadhlina bercakap atas kapasiti menteri yang menjaga undang-undang ditetapkan dan sebagai menteri Melayu-Islam.
“Dasar yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini… nasihat saya kepada kamu, tolong jangan kurang ajar,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Lim beritahu Fadhlina bahawa kenyataannya berkait kutipan dana untuk sekolah vernakular agak keras, susulan kontroversi mengenai penglibatan syarikat minuman keras.
Lim dilaporkan berkata, Fadhlina sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Menurutnya, Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, “seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak”.
Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang. Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.