
Pengerusinya Azaha Abdul Rani berkata jika rundingan pihak dalam kerajaan menetapkan tiada keperluan untuk parti selain Barisan Nasional (BN) berkempen bagi calon Umno, mereka akan akur.
Merujuk kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah meminta DAP menjauhi PRK Nenggiri, Azaha berkata beliau sedar kawasan berkenaan adalah kawasan Melayu namun mahu pemimpin Umno itu juga sedar beliau kalah di Parlimen Gua Musang kepada calon bukan ‘heavyweight’ iaitu Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu pada PRU 2022.
Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li dilaporkan sebuah portal berkata tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu turun berkempen di kawasan Melayu, sambil menambah “Dia (DAP) cakap Melayu pun tak betul”.
Kenyataan itu menyusul selepas Azaha sebelum ini berkata partinya akan turun berkempen di kawasan Orang Asli bagi memastikan lebih 2,700 pengundi masyarakat itu keluar menyokong calon BN.
“Ku Li tak patut heboh di media…sepatutnya panggil pemimpin DAP di peringkat negeri, kita bincang secara dalaman.
“Kita akan patuh (sebarang keputusan) kalau ia rugi dari segi politik, makna kata kalau tak perlu (turun kempen), tak perlulah,” katanya kepada FMT.
“Kita tiada halangan (untuk berbincang) dan sedar kita di kawasan Melayu walaupun tetapi apa yang kita nak tolong ialah pastikan orang asal mengundi calon BN…itu sahaja.”
Dalam pada itu, Azaha berkata pihaknya akan ‘bertenang’ dahulu dalam membantu kempen BN walaupun pihaknya telah melancarkan jentera PH sempena PRK Nenggiri pada 21 Julai.
“Kita akan ‘cooldown’ dulu,” katanya yang menyerahkan pucuk pimpinan parti untuk menentukan sebarang keputusan.
Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi DAP enggan dikenali berkata ahlinya terdiri daripada pelbagai bangsa terguris dengan kenyataan veteran Umno yang mengaitkan mereka ‘tidak pandai berbahasa Melayu’.
“Kami rasa terhina, jangan ingat DAP hanya Cina sedangkan DAP Kelantan ramainya adalah Melayu,” katanya, dan menambah jentera yang akan masuk membantu terdiri daripada orang Melayu.
“Mengapa Ku Li tak halang MCA dan MIC jangan bantu sebab mereka ada juga tak lancar cakap Melayu,” tambahnya.
Beliau mengingatkan bahawa BN tak akan menang besar di DUN Galas sekiranya DAP tidak membantu, merujuk kepada kemenangan wakil rakyat tunggal BN di Kelantan, Syahbuddin Hashim, dengan majoriti 3,337 undi mengalahkan calon PAS.