Bicara kes Mentega Terbang tangguh hingga selesai rujuk soalan perlembagaan

Bicara kes Mentega Terbang tangguh hingga selesai rujuk soalan perlembagaan

Hakim K Muniandy menetapkan 24 Okt untuk mendengar dua soalan perlembagaan dikaitkan dengan pertuduhan terhadap pengarah dan penerbit filem itu.

Tan Meng Kheng (kiri) dan Khairi Anwar Jailani (kanan) serta peguam mereka Zaid Malek di Mahkamah Tinggi hari ini.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes pengarah dan penerbit filem indie tempatan Mentega Terbang ditangguhkan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian cabaran perlembagaan yang dibawa berhubung pertuduhan terhadap mereka.

Pada pengurusan kes hari ini, Hakim K Muniandy menetapkan permohonan pengarah filem Khairi Anwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng untuk pendengaran pada 24 Okt.

Khairi, 32, dan Tan, 36, didakwa melukakan perasaan agama orang lain menerusi tayangan filem itu di sebuah lokasi di Jalan Semarak Api, pada 12.34 tengah hari, 26 Feb 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muniandy turut mengarahkan kedua-dua pemohon dan pihak pendakwaan memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 18 Okt.

Peguam Zaid Malek mewakili kedua-dua mereka, manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nor Azizah Aling mewakili responden.

Pada 14 Jun, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan kedua-dua mereka untuk merujuk dua soalan perlembagaan kepada Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan yang dihadapi.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi kebebasan bersuara.

Mereka juga meminta Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa yang menyakiti perasaan agama seseorang itu melanggar hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kerana ia adalah kabur.

Filem itu, yang pada asalnya disiarkan di platform penstriman video, mencetuskan kecaman dan kebimbangan orang ramai kerana didakwa menggambarkan adegan yang bercanggah dengan kepercayaan dan sentimen agama.

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem itu pada 1 Sept 2023 namun kedua-dua mereka menyifatkan tindakan itu tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang dijamin dalam perlembagaan.

Tan dan Khairi juga telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan kerajaan mengharamkan filem itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.