
Menterinya, Dzulkefly Ahmad, berkata adalah mustahak mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat kerana antara penyebab utama peningkatan berat badan menjerumuskan kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti dan kencing manis.
“Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, satu matriks tidak menunjukkan penurunan iaitu berat badan yang tinggi.
“Punca utama adalah berkait pengambilan gula, ini antara sebab KKM merancang satu program untuk isytihar perang ke atas gula. Belum buat pelancaran tetapi kami telah susun program ini,” katanya pada sesi Soal Jawan Lisan di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator A Kesavadas yang ingin tahu pendekatan holistik KKM dalam mengawal pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada 16 Mei lalu, Dzulkefly berkata KKM akan melancarkan ‘perang’ ke atas gula dalam tempoh terdekat sebagai usaha kerajaan mengurangkan peningkatan NCD dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan data NHMS 2023, kira-kira setengah juta atau 2.5% individu dewasa menghidap empat penyakit NCD termasuk obesiti serta kencing manis, namun satu daripada dua rakyat Malaysia dikenal pasti menghidap obesiti dan berat badan berlebihan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme meningkatkan akses kepada saringan pantas kandungan gula dalam darah bagi membolehkan rakyat mengenal pasti jika perlu mendapatkan rawatan lebih awal.
“Pengawalan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes adalah sangat penting kerana ia sepanjang hayat, kronik, dan tidak akut. Justeru, perang ke atas gula ini satu perkara yang kita harus lakukan,” katanya.
Dzulkefly berkata, dalam mengemudi KKM, beliau memberi fokus terhadap penyediaan akses kemudahan kesihatan preventif sebagai langkah awal menangani penyakit serta mempromosikan kepentingan menjaga kesihatan.
“Penekanan akan diberikan kepada langkah pencegahan di peringkat awal. Kita tahu NHMS 2023 tidak memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha kita selama ini.
“(Dapatan NHMS 2023 menunjukkan) penyakit kencing manis menurun sedikit tetapi hipertensi dan kolesterol tinggi masih pada paras agak tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Dr A Lingeshwaran mengenai tindakan KKM susulan dapatan NHMS 2023 menunjukkan terdapat kegagalan dalam mengawal morbiditi.