Remaja hilang ditemui selamat, penganggur direman

Remaja hilang ditemui selamat, penganggur direman

Polis berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan di Triang, Pahang pada 12.30 tengah malam tadi.

Polis berkata, Nurul Aishah Farhana Azni ditemui di sebuah rumah dipercayai milik saudara suspek. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur ditahan selepas remaja 17 tahun, Nurul Aishah Farhana Azni yang hilang kelmarin, ditemui selamat di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan di Triang, Pahang pada 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, remaja itu ditemui di sebuah rumah dipercayai milik saudara suspek dan siasatan mendapati suspek dipercayai melarikan mangsa yang berdepan masalah keluarga.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani pemeriksaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Menurutnya, ujian air kencing suspek negatif dadah dan pemuda itu tiada rekod lampau jenayah atau dadah.

Semalam, polis meminta bantuan orang ramai mengesan remaja itu yang kali terakhir dilihat di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali, Selangor pada 9.30 malam Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.