Ramanan serah elaun, gaji kepada rumah ibadat di Sg Buloh

Ramanan serah elaun, gaji kepada rumah ibadat di Sg Buloh

Ahli Parlimen itu berkata, sepanjang 2023 hingga bulan ini, RM452,000 disumbangkan kepada surau, masjid, kuil dan gereja.

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan berikrar akan memastikan setiap rumah ibadat di kawasannya mendapat sumbangan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, yang juga timbalan menteri pembangunan koperasi dan usahawan, mengotakan janji pada PRU15 dengan menyerahkan gaji dan elaun kedua-dua jawatan itu kepada rumah ibadat sekitar kawasannya.

Beliau berkata, sepanjang 2023 hingga bulan ini, RM452,000 elaun dan gajinya telah disumbangkan kepada rumah-rumah ibadat termasuk surau, masjid, kuil dan tokong, gereja, selain persatuan dan organisasi keagamaan.

Sejumlah RM332,000 diserahkan kepada 72 rumah ibadat pada 2023 manakala RM120,000 lagi kepada kira-kira 100 rumah ibadat dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Selain mengotakan janji, pemberian kesemua gaji dan elaun ini juga merupakan penghargaan saya kepada pengundi berbilang bangsa di Parlimen ini yang menyokong saya selama ini.

“Pengurusan rumah ibadat boleh gunakan duit ini bantu golongan B40 yang memerlukan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil lapan rumah ibadat di beberapa lokasi sekitar Sungai Buloh hari ini.

Ramanan berikrar mahu memastikan setiap rumah ibadat di kawasannya mendapat sumbangan, dengan amaun yang disalurkan bergantung kepada jumlah penganut dan keperluan rumah ibadat berkenaan.

“Setiap dua bulan sekali, gaji dan elaun saya bahagikan kepada semua rumah ibadat di sekitar Sungai Buloh, ini merupakan tambahan daripada peruntukan selain daripada yang diberikan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Surah Al-Hidayah Saujana Utama Mohd Rosli Hussien berterima kasih kepada Ramanan kerana memilih surau tersebut untuk menerima sumbangan.

Beliau berkata, sumbangan itu amat bermanfaat bagi membantu golongan B40 serta anak yatim piatu sekitar kawasan itu.

“Ini kali kedua Yang Berhormat (Ramanan) berikan sumbangan pada surau kita. Tahun lepas bagi RM2,500, kali ini RM3,000 ada penambahan … syukur, kesemuanya digunakan untuk kebajikan kariah masjid selain daripada pembangunan surau,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Gereja Asaripu Kudaram Anglican Steven John Perumal pula berkata, selain untuk kebajikan kanak-kanak, sumbangan itu juga digunakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal dan keluarga miskin mendapatkan barangan keperluan asas.

Katanya, penerima bantuan sangat menghargai usaha Ahli Parlimen itu yang memberikan bantuan tanpa mengira warna kulit, agama, mahu pun bangsa.

Bagi Pengurus Tokong Wee Leng Keng Kampung Matang Pagar Thee Seng Kok, 67, pemberian sumbangan itu menjadi bukti Ramanan mengotakan janjinya, sikap yang patut dicontohi wakil rakyat lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.