Keluarga Albertine Leo tak kenal semua suspek culik, kata polis

Keluarga Albertine Leo tak kenal semua suspek culik, kata polis

Ketua Polis Johor M Kumar berkata motif penculikan dan hubungan antara semua suspek masih dalam siasatan.

albertine
Polis berkata ibu bapa Albertine Leo Jia Hui tidak mengenali suspek kelima ditahan bersama anak mereka di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, Selasa lalu.
JOHOR BAHRU:
Keluarga Albertine Leo Jia Hui, 6, yang hilang di pusat beli-belah Iskandar Puteri Sabtu lepas tiada sebarang hubungan dengan lima suspek ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga tidak mengenali suspek kelima yang ditahan polis bersama anak mereka di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, Selasa lepas.

“Tiada sebarang perkenalan atau hubungan antara keluarga dengan kelima-lima suspek, termasuk yang ditangkap bersama mangsa. Bagaimanapun, motif penculikan dan hubungan antara semua suspek masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, reman terhadap dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun akan tamat esok, jika tiada keperluan disambung reman, keempat-empatnya akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, reman suspek kelima, iaitu lelaki berumur 31 tahun yang ditangkap bersama mangsa pula akan tamat Isnin depan dan proses siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berhubung baju festival Bon Odori Johor dipakai suspek kelima ketika ditahan, Kumar berkata, ia tidak menunjukkan lelaki itu peniaga di festival terbabit kerana baju berkenaan boleh dibeli sesiapa saja yang mengunjungi festival tersebut.

Mengenai tangkapan baharu kes itu, katanya, terlalu awal untuk memuktamadkan perkara itu memandangkan proses siasatan masih berjalan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang selalu memberi maklumat dan kerjasama kepada polis, khususnya polis Johor untuk kita sama-sama memastikan Johor kekal selamat bagi semua pihak.”

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam Sabtu lalu di sebuah pusat beli-belah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.