
Taman berusia 133 tahun itu ialah taman awam pertama di Tanah Melayu, antara lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menikmati ketenangan dan kehijauan alam.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata, masyarakat tidak perlu bimbang kerana fenomena itu bersifat sementara.
Tambahnya, pemantauan berterusan sedang dilakukan pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
“Fenomena seumpama ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini dan menyebabkan air tasik serta beberapa alur sungai berdekatan kering.
“Kesan seumpama ini akan pulih setelah hujan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa kawasan tasik yang juga bekas tapak perlombongan bijih timah itu terjejas akibat cuaca panas pada masa ini.
Dalam pada itu, Teh berkata, MPT sedang merangka langkah mitigasi bersifat jangka panjang agar kesan fenomena itu dapat diminimumkan dan tidak berlarutan.
“Langkah mitigasi ini menekankan kepada cara untuk kita menangani kesan perubahan iklim dan pada masa sama, memastikan Taman Tasik Taiping terus kekal sebagai tarikan pelancongan utama,” katanya.