28 Ogos serahan dokumen kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA

28 Ogos serahan dokumen kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA

Hakim menetapkan tarikh itu selepas pendakwa memaklumkan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik belum diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Pada 25 April lalu Hafizul Hawari didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA, pada 1.09 pagi, 14 April. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Mahkamah Sesyen Sepang menetapkan 28 Ogos depan untuk penyerahan dokumen bagi kes seorang pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi wanita itu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah memaklumkan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik belum diserahkan kepada pasukan pembelaan.

“Hari ini ditetapkan serahan dokumen, saya telah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen-dokumen secara separa.

“Dokumen-dokumen yang masih belum diserahkan itu adalah laporan perubatan penuh, laporan kimia tempat kejadian dan forensik. Justeru saya memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen seterusnya,” katanya.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari, 38, mengesahkan dokumen separa telah diserahkan kepada pembelaan, manakala tiga lagi dokumen belum.

Pada 25 April lalu Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 1.09 pagi, 14 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.