
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata suspek yang merupakan penjual pisang goreng berusia 32 tahun ditahan sekitar 2.40 pagi pada 21 Julai lalu di Jalan Pawang Jalil, Jeram.
Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar esok pada 9 pagi atas dua kesalahan bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan kanak-kanak daripada jagaan yang sah.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda,” katanya dalam kenyataan.
Dua kanak-kanak perempuan itu sebelum ini dilaporkan hilang, ditemui selamat sejam selepas laporan dibuat, dipercayai dilarikan seorang lelaki menaiki kereta Perodua Bezza.
Kejadian itu berlaku ketika dua kanak-kanak yang tinggal berjiran sedang bermain di taman perumahan kawasan berkenaan.