Sabah akan lancar Pelan Tindakan Bakau

Sabah akan lancar Pelan Tindakan Bakau

Pelan itu dijangka menjadi panduan pengurusan dan pemuliharaan bakau di Sabah, kata Hajiji Noor.

Hutan bakau generic
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menekankan kepentingan Pelan Tindakan Bakau memandangkan Sabah mempunyai 378,195 hektar hutan bakau. (Gambar fail)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah akan melancarkan Pelan Tindakan Bakau Sabah sebagai langkah mentransformasi pengurusan dan pemuliharaan hutan bakau di negeri ini.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, pelan tindakan itu penting memandangkan Sabah mempunyai kira-kira 60% atau 378,195 hektar hutan bakau.

“Sabah mempunyai hutan bakau terbesar di Malaysia jadi penting untuk kita mempunyai pelan tindakan yang akan menjadi panduan pengurusan dan pemuliharaan bakau.

“Ia juga selaras dengan inisiatif Karbon Biru, program global yang menumpukan kepada pemuliharaan ekosistem tepi laut demi iklim, biodiversiti dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Jabatan Ketua Menteri hari ini.

Hajiji berkata, Jemaah Menteri negeri meluluskan pelan tindakan itu semasa mesyuarat mingguan dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya, Jemaah Menteri juga dimaklumkan bahawa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian ketakdedahan sudah dimeterai antara Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas untuk projek Pemetaan Rumpai Laut dan inisiatif komuniti.

Projek dan inisiatif komuniti itu akan dilaksanakan selama lima tahun, katanya.

Kerjasama itu dijangka menyediakan peta pengedaran rumpai laut yang lengkap untuk digunakan sebagai rujukan bagi pemuliharaan, perlindungan dan pembangunan mampan ekosistem rumpai laut.

Hajiji berkata, inisiatif komuniti anjuran kerajaan negeri melalui Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas akan melibatkan masyarakat di kawasan ekosistem marin dan rumpai laut dalam usaha pemuliharaan serta kesedaran.

“Ia juga dijangka menyumbang kepada inisiatif Ekonomi Biru Kerajaan Negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.