
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata perkara itu termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
“Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat,” katanya selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Beliau berkata demikian susulan isu ujian sistem siar raya ketika sebuah majlis dekat sebuah masjid di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud, menyangkal dakwaan isu tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji.
“Selama ini, pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) tidak ada masalah mengendalikan staf, termasuk tukang cuci, bahkan gaji dibayar lebih awal daripada tarikh sepatutnya dan tidak pernah ada tunggakan,” katanya sambil menambah siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti pihak sengaja menyebarkan dakwaan itu.
SUK Kelantan sebelum ini menafikan laporan mendakwa 20 tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji sejak Mac lepas.