
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan Adun dari Perak Abdul Aziz Bari.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata kedua-dua pemohon telah memenuhi ambang untuk semakan kehakiman.
“Perintah mahkamah di bawah (Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan) diketepikan. Kami menyerahkan perkara ini kepada Mahkamah Tinggi untuk permohonan substantif didengar,” katanya.
Keputusan hari ini bermakna Mahkamah Tinggi tidak akan dihalang daripada mendengar kes itu atas meritnya walaupun terdapat klausa dalam Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Maimun, yang bersidang bersama Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang, berkata kes Hassan dan Aziz akan dibicarakan oleh hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah juga menetapkan perkara itu untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 31 Julai.
Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman yang dikemukakan bersama oleh Aziz, ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim dan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dan Pulai Johari Abdul dan Salahuddin Ayub.
Permohonan Hassan, yang dikemukakan secara berasingan, telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada bulan berikutnya.
Pada 24 Nov 2021, Mahkamah Rayuan menolak kedua-dua rayuan.
Bagaimanapun, dalam keputusan berbelah bahagi setahun kemudian, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran mereka.
Tahun lalu, Anwar, yang kini perdana menteri, dan Johari, kini speaker Dewan Rakyat, menarik balik rayuan mereka, manakala Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai tahun lalu.
Hassan dan Aziz, satu-satunya pemohon yang tinggal, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan Jemaah Menteri Muhyiddin menasihatkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen dan semua badan perundangan negeri adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan.