Anggota lapangan APMM guna kamera badan ketika operasi

Anggota lapangan APMM guna kamera badan ketika operasi

Buat permulaan peranti itu diguna penguat kuasa mengiringi wang milik BSN ke Pulau Tioman.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Saiful Lizan Ibrahim, berkata pelaksanaan penggunaan kamera badan diperluas setelah proses perolehan dilulus kerajaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas di lapangan akan memakai kamera badan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Saiful Lizan Ibrahim, berkata langkah berkenaan antara usaha memastikan penguat kuasa melaksanakan tugas dengan penuh integriti, khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

Beliau berkata, APMM giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), selain turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

“Sebagai permulaan, (penggunaan kamera badan) digunakan penguat kuasa APMM yang mengiringi wang milik Bank Simpanan Nasional (BSN) ke Pulau Tioman sebelum pelaksanaannya diperluaskan setelah proses perolehan diluluskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menekankan agar jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penerapan integriti kepada seluruh warga jabatan masing-masing.

Saiful Lizan memaklumkan APMM telah menggunakan Unit Pengawasan Bergerak (MSU) yang berfungsi sebagai radar bergerak untuk mengesan aktiviti mencurigakan di perairan negara, sekali gus menjadi aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (Swasla) sedia ada.

“APMM turut mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 melalui Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) yang mampu menerima isyarat kecemasan dari pelbagai jenis suar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.