2 pengarah syarikat, rakan didakwa perdaya kontraktor RM5.5 juta

2 pengarah syarikat, rakan didakwa perdaya kontraktor RM5.5 juta

Tiga termasuk dua beradik itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

mahkamah kuala lumpur
Tertuduh, Kumara Indran, 53, Sumathi Indran, 49, dan Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menipu kontraktor dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala.
PETALING JAYA:
Tiga termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang kontraktor dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala di sini, pada 2018.

Tertuduh yang juga pengarah syarikat hartanah Aston Villa Sdn Bhd, Kumara Indran, 53 dan adiknya, Sumathi Indran, 49, serta rakan mereka, Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa bersama menipu seorang kontraktor dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM5.5 juta.

Wang terbabit sebagai pendahuluan untuk mempercayai ketiga-tiga tertuduh akan menguruskan segala urusan bagi mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala bagi syarikat MZMA Construction Sdn Bhd.

Semua tertuduh turut mencagarkan hartanah di mukim Kuala Lumpur milik Aston Villa Sdn Bhd sekiranya projek itu tidak berjaya, sedangkan mereka mengetahui lot tanah terbabit sudah pun dicagarkan kepada MBSB Bank pada 2013.

Tertuduh didakwa secara bersama dengan curangnya menyalahgunakan wang milik MZMA Construction Sdn Bhd berjumlah RM987,084.17 yang dipindahkan ke beberapa akaun bank atas nama Sumathi, Aston Villa Sdn Bhd dan Remyrizal bagi kepentingan peribadi.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Amalina Jaafar mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faris Abrar Othman, Dhiyaulhaq Mohd Arifin dan M Manoharan.

Hamidah membenarkan jaminan RM20,000 untuk setiap tertuduh dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.