Zahid cadang fisioterapi jadi kursus TVET

Zahid cadang fisioterapi jadi kursus TVET

Timbalan perdana menteri berkata Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2 bagi latihan asas fisioterapi boleh ditawarkan kepada pelajar yang berminat.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata cadangan itu boleh mengatasi isu kekurangan ahli fisioterapi di negara ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mencadangkan kursus fisioterapi turut dimasukkan ke dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mengatasi isu kekurangan ahli dalam bidang berkenaan.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, kemungkinan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 bagi latihan asas bidang fisioterapi boleh ditawarkan kepada pelajar yang berminat.

“Kemahiran fisioterapi adalah bidang yang memerlukan kelulusan diploma, ijazah dan sebagainya, namun di peringkat permulaan ini (sijil SKM) ia boleh dilakukan kerana kita memerlukan ramai ahli fisioterapi.

“Bidang fisioterapi harus diceburi tanpa melalui sistem akademik biasa bagi memenuhi keperluan kepada kadar kependudukan. Di negara maju terdapat kadar seorang ahli fisioterapi bagi 2000 penduduk, namun di negara kita hanya 1 bagi 7,400 penduduk.

“Ini adalah suatu langkah panjang yang harus digarap sistem TVET,” katanya selepas merasmikan Pusat Fisioterapi dan Pemulihan Sukan Propain di Elmira Residence and Urban Detail.

Terdahulu, Zahid dalam ucapan berkata kerjasama boleh terjalin antara TVET dalam menawarkan kursus fisioterapi bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia yang mempunyai keputusan kurang cemerlang.

“Banyak kolej dan universiti menerusi fakulti kesihatan yang menawarkan kursus berkaitan, tapi itu hanya untuk mereka yang mendapat kelulusan diploma.

“Bagi mereka yang tiada kelulusan diploma, kursus-kursus pensijilan boleh dilakukan melalui beberapa institusi TVET,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.