Qunut Nazilah untuk hancur saudara seagama beri kesan besar, kata menteri

Qunut Nazilah untuk hancur saudara seagama beri kesan besar, kata menteri

Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar berkata tidakan itu akan membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

bacaan doa
Minggu lalu, Ahli Parlimen PN membacakan qunut nazilah selepas Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri Dewan Rakyat selama enam bulan.
PUTRAJAYA:
Membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran saudara seagama boleh memberi kesan yang besar dan membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Qunut Nazilah seharusnya dibacakan untuk tujuan tertentu atau di tempat yang sepatutnya, dan bukannya untuk mendoakan musibah terhadap saudara seagama.

“Walaupun ada perbezaan pandangan politik janganlah sampai kita mengajak masyarakat untuk menganjurkan atau kita berdoa Qunut Nazilah.

“Jadi ada perbezaan pandangan, kita urus dengan cara yang baik. Tak perlu sampai mendoakan musibah untuk hancurkan kepada rakan seagama kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Na’im mengulas tindakan pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas usul menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu.

Wan Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sementara itu, Na’im berkata beliau mengarahkan Qunut Nazilah dibaca di semua masjid-masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Beliau berkata ini bagi mendoakan rakyat di Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.