Lebih 100 rakyat Malaysia dibawa keluar dari Bangladesh tiba di KLIA

Lebih 100 rakyat Malaysia dibawa keluar dari Bangladesh tiba di KLIA

Mereka dibawa pulang atas faktor keselamatan susulan protes kuota kerja kerajaan di negara itu yang meragut lebih 150 orang.

Seramai 80 pelajar antara rakyat Malaysia yang tiba di KLIA Terminal 2 selepas menaiki penerbangan sewa khas dari Bangladesh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesawat sewa khas yang membawa seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar pulang dari Bangladesh yang dilanda protes besar-besaran, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia di Bangladesh atas faktor keselamatan susulan protes kuota kerja kerajaan di negara itu yang meragut lebih 150 orang.

Pesawat AirAsia A320 selamat mendarat di KLIA Terminal 2 pada 4.57 petang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada 11.05 pagi tadi.

Seorang pelajar Siti Nurathirah Afrina Azree, 25, berkata perasaannya bercampur-campur sebaik kembali ke Malaysia kerana beliau kini di tahun akhir pengajian.

Nurathirah memberitahu Bernama, beliau bimbang terutama sekali selepas perintah berkurung diisytiharkan oleh pihak berkuasa Bangladesh.

“Selepas mendengar berita dari penduduk bahawa rusuhan mungkin berlanjutan… kami bimbang kerana tiada sambungan Internet dan ibu bapa mula panik,” katanya.

“Kami rasa kami perlu pulang ke Malaysia… Misi membawa pulang ini satu rahmat bagi kami.”

Menurut laporan Reuters, Dhaka dan beberapa bandar utama di Bangladesh kini di bawah perintah berkurung dan telekomunikasi serta Internet turut ditutup oleh kerajaan sejak protes tercetus pada minggu lalu.

Seorang pelajar, Sarvin Tharmalingam berkata misi dilancarkan kerajaan itu adalah sebab utama pelajar memilih untuk pulang ke tanah air.

“Liputan telefon yang teruk dan kurangnya sambungan Internet menyebabkan sukar untuk berhubung, dan mengetahui adakah keadaan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.