Albertine ditemui selamat di Batang Kali, polis tahan 5 suspek

Albertine ditemui selamat di Batang Kali, polis tahan 5 suspek

Ketua Polis Johor M Kumar berkata Albertine Leo Jia Hui ditemui di sebuah hotel murah bersama suspek lelaki berusia 31 tahun.

albertine
Penemuan Albertine Leo Jia Hui di sebuah lokasi di Batang Kali disahkan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, lapor Buletin TV3. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Sabtu lalu ditemui selamat di Batang Kali, Selangor, kira-kira 4 pagi tadi.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata Albertine Leo Jia Hui ditemui di sebuah hotel murah di Batang Kali bersama suspek iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun yang tidak mempunyai sebarang hubungan pertalian keluarga dengannya.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat motif penculikan kanak-kanak itu termasuk sama ada mempunyai kaitan dengan sindiket.

“Lima suspek telah ditahan iaitu tiga lelaki dan dua perempuan yang tiada pertalian keluarga dengan mangsa.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Kumar berkata kanak-kanak itu juga dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan untuk mengesan sekiranya ada sebarang kecederaan.

“Kita siasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana ada berlaku sentuhan yang tidak dibenarkan dan diizinkan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada panggilan diterima oleh keluarga suspek bagi menuntut pampasan.

Albertine, anak ketiga daripada empat beradik difahamkan hilang ketika berlangsungnya festival Bon Odori dengan ibu bapanya berniaga menjual minuman pada sambutan itu.

Beberapa pihak menawarkan wang ganjaran berjumlah sehingga RM50,000 kepada pihak yang berjaya menemukan kanak-kanak itu menerusi media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.