
“Permintaan DNAA pihak pembelaan ditolak. Sila bersedia (untuk perbicaraan) pada 14 Nov,” kata Hakim Jamil Hussin.
Hakim turut mengarahkan pihak pendakwaan melengkapkan proses penyahklasifikasian dokumen dalam tempoh tiga bulan.
Peguam bela Farhan Shafee, yang mewakili Najib dan peguam Irwan, K Kumaraendran, mengemukakan permohonan itu atas alasan bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan keseluruhan set dokumen yang dimaksudkan untuk digunakan dalam perbicaraan.
Kumaraendran berkata pasukan pembelaan sebelum ini dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan berhasrat menyerahkan 100 set dokumen kepada mereka selepas penyahklasifikasian.
“Timbalan pendakwa raya boleh mendakwa mereka (Najib dan Irwan) sekali lagi apabila mereka (dokumen) siap,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Hashim Musaimi membantah dengan berkata pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
Beliau berkata pihak pendakwaan masih dalam proses mendapatkan penyahklasifikasian oleh pelbagai kementerian, termasuk ekonomi serta peralihan tenaga dan transformasi air.
Kumaraendran kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan tidak akan dapat bersedia untuk perbicaraan tanpa penghantaran dokumen yang lengkap.
Ini adalah percubaan kedua bagi mereka untuk mendapatkan pelepasan. Permintaan sebelumnya telah ditolak pada Mac 2022.
Pada 2018, bekas perdana menteri Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan didakwa bersama dengan enam pertuduhan menyeleweng dana awam yang bertujuan untuk pembayaran kepada IPIC, sebuah syarikat milik Abu Dhabi.