Mahkamah Perusahaan tegur syarikat guna isu perkauman dalam kes pecat pekerja

Mahkamah Perusahaan tegur syarikat guna isu perkauman dalam kes pecat pekerja

Kenyataan pengarah kewangan syarikat bahawa penuntut ada ‘godfather dari kaum sama' membuktikan penuntut dijadikan mangsa, kata mahkamah.

mahkamah
Mahkamah Perusahaan membenarkan pampasan berjumlah RM71,500 kepada S Janarthen selepas memutuskan penuntut dijadikan mangsa oleh majikan yang juga pengarah kewangan syarikat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa seorang pekerja dipecat secara tidak adil selepas majikannya, Auto Abundance Sdn Bhd, menggunakan isu perkauman dalam dokumen mahkamah untuk mewajarkan pemecatannya.

Dalam keputusan yang bertarikh 11 Julai, Pengerusi Mahkamah D Paramalingam berkata:

“Apa yang kita ada di sini adalah jalan buntu antara dua pengarah yang memiliki saham yang sama dalam syarikat. Dan di tengah-tengah pertembungan ini, penuntut yang menjadi kambing hitam.”

Pengerusi berkata situasi itu “memuncak” apabila pengarah kewangan Yim Kai Keong, yang mewakili majikan dalam prosiding, berusaha untuk menyingkirkan penuntut, S Janarthen.

“Perasaan tidak suka jelas terlihat dalam penghujahan bertulis yang difailkan di hadapan mahkamah ini di mana dia membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap penuntut dan (penyelianya, V Muralidharan Nair, yang juga pengarah bersama Yim).”

Yim, dalam penghujahan bertulis yang difailkan di mahkamah bagi pihak syarikat berkata:

“Penuntut sengaja enggan menerima arahan daripada syarikat dan tidak menghormati rakan sekerjanya kerana dia mempunyai ‘godfather’ dari kaum yang sama yang akan mempertahankannya.”

Dalam award setebal 25 halaman, Paramalingam menyifatkan kenyataan Yim berkaitan kaum untuk mewajarkan pemecatan Janarthen sebagai “tidak sesuai”.

“Penuntut jelas dijadikan mangsa oleh Yim, padahal sebenarnya rungutan Yim adalah terhadap (Nair). Disebabkan perbezaan pendapat antara dua pengarah, penuntut terpaksa menanggung akibatnya,” menurut award itu.

Janarthen menyertai syarikat itu pada 2012 dan bertugas di jabatan pentadbiran sebelum dilantik sebagai pembantu kualiti, dengan gaji bulanan RM3,150.

Beliau meletak jawatan enam tahun kemudian, tetapi menyertai semula syarikat itu pada 2019 dalam kapasiti yang sama dan dengan gaji yang sama.

Pada 2022, Janarthen dipecat oleh Yim kerana dituduh meminum arak di premis syarikat dan mencabar Yim untuk bergaduh secara fizikal apabila ditanya mengenai pelanggaran etika kerja dan arahan.

Untuk mewajarkan pemecatan itu, syarikat cuba mengemukakan bukti gambar dan video yang diambil oleh pengurus kanan pembangunan produk syarikat, Lim Kai Zhi, untuk menyokong dakwaannya, tetapi mahkamah memutuskan bukti tersebut tidak konklusif.

“Gambar menunjukkan beberapa tin bir kosong diletakkan di atas kerusi. Tiada siapa dalam foto tersebut, dan sudah pasti bukan penuntut. Gambar ini bukan bukti konklusif bahawa penuntut yang minum bir tersebut,” kata Paramalingam.

Mahkamah mendapati bahawa petikan video yang menunjukkan penuntut duduk di suatu kawasan sambil merokok dan minum diambil pada hari Sabtu, selepas waktu bekerja.

“Saksi keempat syarikat, M Gunasegaran, mengakui bahawa penuntut minum hanya selepas waktu bekerja. Dia juga mengakui bahawa tempat dalam video tersebut berada di luar kawasan syarikat,”.

Mahkamah juga mendapati bahawa klip video yang dikemukakan untuk membuktikan Janarthen mencabar Yim untuk bergaduh juga telah disunting.

Paramalingam berkata satu-satunya orang selain penuntut yang boleh menjelaskan tentang cabaran untuk bergaduh itu adalah Yim sendiri.

“Malangnya, dia (Yim) memilih untuk tidak memberi keterangan dan ini adalah ‘fatal’ kepada kes syarikat,” katanya.

Janarthen dianugerahkan pampasan RM71,500, terdiri daripada gaji tertunggak selama 23 bulan yang dikurangkan sebanyak 20% yang dikira sebagai pendapatan selepas pemecatan, dan pampasan dua bulan gaji.

R Thayalan dan Ambbi Balakrishnan mewakili Janarthen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.