Hormati keistimewaan profesional ketika siasat peguam, gesa Majlis Peguam

Hormati keistimewaan profesional ketika siasat peguam, gesa Majlis Peguam

Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam berkata difahamkan SPRM menyerbu firma guaman dan membekukan akaun mereka.

 

Majlis Peguam akan mengadakan pertemuan dengan ketua agensi penguatkuasaan undang-undang untuk membangkitkan tindakan yang mengganggu keistimewaan profesional atau tugas peguam.
PETALING JAYA:
Siasatan dan penahanan melibatkan peguam baru-baru ini mendorong Majlis Peguam untuk memberi peringatan kepada agensi penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya menghormati prinsip kerahsiaan profesional undang-undang dan hak representasi.

Dalam pekeliling, Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam itu berkata prinsip-prinsip ini tidak boleh disentuh dalam penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

“Menjadi perhatian kami bahawa SPRM menjalankan serbuan ke atas firma guaman dan membekukan akaun mereka. Adalah penting untuk membezakan antara penahanan yang dibuat dalam kapasiti peribadi dan penahanan yang melibatkan peguam dalam menjalankan tugas profesional mereka di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

“Dalam perkembangan ini, majlis menggesa semua ahli untuk segera menghubungi jawatankuasa Amla Majlis Peguam jika firma mereka menjadi sasaran tindakan sedemikian,” kata jawatankuasa itu dalam pekeliling yang dilihat oleh FMT.

Ia tidak memberikan butiran mengenai firma yang terlibat.

Jawatankuasa itu berkata satu pertemuan dengan ketua pesuruhjaya SPRM dan ketua-ketua agensi penguatkuasaan undang-undang lain akan diadakan tidak lama lagi untuk menangani dan membantah sebarang siasatan atau tindakan polis yang mengganggu keistimewaan profesional atau tugas peguam.

Untuk melindungi kebebasan berkanun yang diperuntukkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, Majlis Peguam menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau sebarang isu berkaitan penahanan peguam yang menjalankan tugas profesional mereka.

Ia menggesa ahli-ahli untuk mengemukakan butiran mengenai penahanan atau siasatan oleh agensi penguatkuasaan, sambil menambah bahawa semua maklumat akan dirahsiakan.

“Jika aduan ini mempunyai merit setelah disemak, wakil akan dilantik oleh Majlis Peguam untuk bertindak sebagai amicus curiae, atau menjalankan arahan memerhati, semasa penahanan, reman, dan siasatan.

“Satu mesyuarat akan diatur dengan Majlis Peguam negeri untuk menyelaraskan sistem tindak balas seluruh negara di mana penahanan atau siasatan polis melanggar akta itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.