
Asyraf berkata jika ada sekali pun perbincangan mungkin hanya membabitkan ahli biasa yang boleh membincangkan pelbagai topik selaras dengan prinsip demokrasi, namun keputusan akhir hanya diputuskan pimpinan.
“Saya selaku SU pun tak tahu. Kalau dia nak bincang, bincang dengan kepimpinan.
“Kalau bincang dengan ahli itu semua boleh berbincang. Sebelum ini pun pernah dengar pimpinan PAS bincang dengan pimpinan PH (Pakatan Harapan),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan antara Barisan Nasional (BN) dan PH bagi PRK DUN Nenggiri hari ini.
Hari ini, sebuah media memetik kenyataan Fadhli mendakwa berlaku beberapa siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno ketika ini, bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU16.
Fadhli berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti, yang dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu.
Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama PH atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.
Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.
Presiden Umno Zahid Hamidi bagaimanapun pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.
Berhubung perkara berasingan, Asyraf berkata kempen jentera BN-PH pada PRK DUN Nenggiri kali ini tidak lagi hanya fokus kepada ceramah umum seperti PRN sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata tumpuan akan diberi dalam usaha ‘penyasaran mikro’ pengundi-pengundi di kawasan itu bagi menjamin tiada terlepas walaupun seorang sekali gus mencerahkan peluang kemenangan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
Beliau turut mengumumkan jentera pilihan raya BN akan dilancarkan Zahid pada 29 Jul depan.
PRK Nenggiri 17 Ogos depan diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.
Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.