Waspada ancaman pancingan selepas gangguan IT global, pesan CyberSecurity

Waspada ancaman pancingan selepas gangguan IT global, pesan CyberSecurity

CyberSecurity Malaysia menasihati pengguna internet sentiasa mengesahkan e-mel mencurigakan dan pautan sebelum klik atau muat turun, khasnya daripada pengirim tidak dikenali.

CyberSecurity Malaysia meminta semua pihak berhati-hati dalam menerima panggilan tidak dikenali, e-mel dan laman web pancingan data atau mesej meminta muat turun kemas kini perisian atau menyediakan akses jarak jauh baik pulih komputer susulan gangguan IT global. (Gambar Cybersecurity Malaysia)
KUALA LUMPUR:
CyberSecurity Malaysia (CSM) mengeluarkan amaran kepada pengguna dan organisasi sentiasa berhati-hati selepas isu gangguan global CrowdStrike baru-baru ini kerana penjenayah siber mungkin melancarkan serangan seperti pancingan atau phishing.

CSM dalam hantaran Facebook memaklumkan semua pihak perlu berhati-hati dalam menerima panggilan tidak dikenali, e-mel pancingan data, laman web pancingan data atau mesej meminta muat turun kemas kini perisian atau menyediakan akses jarak jauh baik pulih komputer susulan gangguan global itu.

“Pengguna dan pentadbir sistem juga dinasihatkan mengambil langkah waspada seperti menyekat domain berbahaya dengan proksi, menapis spam dan mekanisme keselamatan bagi mencegah sebarang pancingan dan ancaman, selain melaksanakan pemantauan berterusan untuk segera mengesan dan menyelesaikan isu.

“Organisasi juga dinasihat menggunakan produk tempatan disahkan untuk sistem kritikal, selain menguji kemas kini perisian dengan teliti dalam persekitaran menyerupai sasaran penyebaran untuk mengesan masalah awal.”

Pada masa sama CSM menasihati pengguna internet sentiasa mengamalkan amalan terbaik dengan mengesahkan e-mel mencurigakan dan pautan sebelum klik atau muat turun, terutama daripada pengirim tidak dikenali.

“Periksa nama domain pautan dalam e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan kesahihan. Layang tetikus untuk sahkan ia menuju pelokasi sumber seragam (URL) yang betul.

“Pastikan komunikasi daripada sumber rasmi dan berwaspada pancingan berpura-pura sebagai CrowdStrike atau entiti dipercayai lain.”

CSM turut menggesa orang ramai segera melaporkan transaksi bank mencurigakan kepada hotline bank 24 jam atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.

Jumaat lalu, media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan IT global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.