Polis rampas dadah selepas 10km kejar lelaki

Polis rampas dadah selepas 10km kejar lelaki

Polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengarahkah lelaki itu memberhentikan kereta namun dia memecut kenderaannya.

Batu Ferenggi hambat-myvi-
Seorang lelaki ditahan selepas dikejar polis dari Tanjung Tokong hingga Batu Ferringhi, petang semalam.
GEORGE TOWN:
Polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah ganja serta syabu selepas mengejar kereta Perodua Myvi dipandunya dari Tanjung Tokong hingga Batu Ferringhi, petang semalam.

Ketua Polis Timur Laut, Razlam Ab Hamid, berkata pada 6.40 petang, anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengarahkah lelaki itu memberhentikan keretanya, namun dia bertindak memecut kenderaannya.

“Kejadian turut mengakibatkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan lain ketika pemandu itu cuba meloloskan kenderaannya daripada ditahan pihak polis yang mengejarnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas mengejar kira-kira 10km anggota polis berjaya menahan lelaki berusia 30 tahun itu apabila kenderaan terbabit tersekat dalam kesesakan jalan raya di hadapan sebuah restoran di Batu Ferringhi.

Razlam berkata, pemeriksaan pada beg silang lelaki itu menemukan sejumlah ganja dan syabu manakala ujian air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine serta amphetamine.

Lelaki berkenaan yang memiliki satu rekod kes jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah, direman untuk siasatan bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa video berdurasi 23 saat hingga satu minit 13 saat memaparkan orang ramai serta anggota polis yang menaiki motosikal mengejar sebuah kereta dipandu secara melulu dan berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.