
PETALING JAYA: Sembilan saksi sudah dirakam percakapan berhubung kehilangan bahan api kerosin jet A-1 dari pangkalan udara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi berkata, tiada tangkapan baharu setakat ini dan enam individu masih direman.
“Kita sudah merakam percakapan sembilan saksi untuk membantu siasatan.
“Nilai kerugian membabitkan kecurian bahan api itu sebanyak RM105,000,” katanya menurut Harian Metro.
Sebelum ini, polis dilaporkan menerima laporan kehilangan bahan api itu pada Isnin lalu dan menahan enam lelaki berusia 31 hingga 55 tahun keesokannya.
Tiga daripada lelaki itu ialah anggota polis berpangkat rendah yang bertugas di pangkalan udara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.