Pasukan khas teliti pindaan Kanun Keseksaan berhubung buli siber, kata Azalina

Pasukan khas teliti pindaan Kanun Keseksaan berhubung buli siber, kata Azalina

Pindaan Akta 574 bagi membanteras gejala buli siber itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

azalina
Azalina Othman Said berkata, kementeriannya bersama Kementerian Digital, KDN dan Kementerian Komunikasi akan melihat dahulu takrifan buli siber yang belum ada dalam perundangan negara. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Pasukan khas melibatkan empat kementerian akan meneliti secara keseluruhan sebelum membuat pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kementeriannya bersama Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi akan melihat dahulu takrifan buli siber yang menurutnya, tiada dalam perundangan negara setakat ini.

Bagi lebih memahami amalan pada peringkat global, Azalina berkata, pihaknya juga bercadang menganjurkan seminar undang-undang berkaitan ancaman siber dengan penglibatan negara luar, seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura, memandangkan terdapat pertikaian membabitkan elemen demokrasi dan batas hak asasi.

“Sebab dalam isu buli siber ini, ada orang kata mereka ada kebebasan nak bercakap apa yang mereka suka… sebab dikatakan dalam buli siber ini, mereka tak sentuh (secara fizikal), mereka cakap sahaja,” katanya.

“Jadi sekarang, aspek jenayah ini bukan hanya satu kesalahan, (mereka) buat ‘swooping’, ‘doxxing’ (mendedahkan maklumat peribadi seseorang dalam talian tanpa persetujuan), menakut-nakutkan dan yang paling dahsyat, mengapi-apikan, maknanya galakkan orang wujudkan kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bukit Mertajam 2024 hari ini.

Sebelum ini, Azalina memaklumkan, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang khusus untuk kesalahan buli siber.

Katanya, cadangan pindaan itu di samping memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’ bagi mengklasifikasikan perbuatan itu sebagai suatu kesalahan di Malaysia secara khusus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.