
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zin Azman Mad Yunus berkata, kapal MT Ceres 1 ditemui pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman dengan dua bot tunda sedang menundanya.
“Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan milik Maritim Malaysia berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I sekitar 1.20 pagi tadi.
“Kedua-dua bot tunda yang disyaki terlibat dalam membawa lari MT Ceres I sudah ditahan.
“Maritim Malaysia dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia akan melaksanakan siasatan lanjut dengan penemuan semula MT Ceres I,” katanya menurut Sinar Harian.
Kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 berlanggar di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada 6.55 pagi Jumaat lalu.
Tetapi, MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Demokratik Sao Tome dan Principe didapati “hilang” ketika operasi mencari dan menyelamat disambung semula pagi pada 7 pagi Sabtu.
Semalam, Zin Azman dilaporkan berkata, MT Ceres 1 yang membawa minyak mentah itu dikesan meninggalkan kawasan pelanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS), tetapi beliau percaya kapal sepanjang 300m itu masih berada dalam perairan Malaysia.
Kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa muatan cecair kimia mudah terbakar “Naptha” pula dikesan berada di timur Pulau Pemanggil, Mersing selepas hanyut 52 batu nautika dari lokasi pelanggaran.
Hari ini, Zin Azman berkata, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL415 MP milik Maritim Malaysia semalam menemui kesan tumpahan minyak di lokasi pelanggaran dan Jabatan Alam Sekitar akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat.