Kait ketua Wanita dengan arak, Amanah lapor polis

Kait ketua Wanita dengan arak, Amanah lapor polis

Amanah Wilayah Persekutuan juga saran Aiman Athirah Sabu saman pemfitnah.

ARAK AMANAH
Amanah Wilayah Persekutuan membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.
KUALA LUMPUR:
Amanah Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial yang didakwa memfitnah Ketua Wanita Aiman Athirah Sabu.

Pengarah Komunikasinya, Razali Zakaria, berkata pemilik akaun Facebook itu memfitnah Aiman dengan mempamerkan poster mengaitkannya dengan syarikat minuman keras.

“Laporan ini bagi tujuan meminta polis menjalankan siasatan ke atas pemilik-pemilik akaun Facebook itu bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya di IPD Dang Wangi.

Beliau berkata, ini adalah laporan polis kedua selepas Amanah Sepang membuat laporan sama semalam berhubung fitnah itu.

Dua pemilik akaun Facebook terbabit membuat hantaran poster yang memaparkan gambar Aiman dan minuman keras.

Jumaat lalu, Aiman dilaporkan sudah memberikan penjelasan mengenai kehadirannya dalam satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.

Katanya, sebagai tetamu diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Sementara itu, Razali menyarankan Aiman yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan mengambil tindakan saman terhadap pemilik akaun Facebook terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, fitnah itu bukan hanya memburukkan nama Aiman tetapi keseluruhan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.