
Tertuduh, Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagaimanapun tiada sebarang keterangan direkodkan berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 1,020 keping gambar, 26 video dan 321 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) dalam telefon bimbit serta 378 keping gambar, 36 video, dan 244 artikel dalam bentuk PDF di dalam telefon bimbit, yang juga bahan yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas dan IS.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal, Kota Bharu pada 9.15 pagi, 10 Jun 2024 dan didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan mana-mana harta hendaklah dirampas, jika disabitkan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Ahmad Saif Al-Islam Il’ di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 10.15 malam, 10 Jun lalu.
Menurut Harian Metro, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan Abu Hafs al Hashimi al-Qurashi pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan itu.
Perbuatan didakwa dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal pada 10 Jun 2024 dan kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim yang sebelum itu tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk laporan pakar dan pemindahan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Nik Mohd Shalahuddin yang ditahan di Johor pernah dipenjarakan tiga tahun bermula 2018 sehingga 2020 selepas didapati bersalah kerana memiliki bahan berkaitan IS.