
Ketua Polis Raub, Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa 14 tahun yang menerima 40 jahitan di kepala membuat laporan pada 11.18 pagi semalam mendakwa dipukul tiga lelaki dikenalinya sekitar 10.15 malam Jumaat lalu di Taman Sempalit Aman, Raub.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati tiga remaja berusia 16 hingga 17 tahun itu tidak berpuas hati kerana mangsa tidak menggantikan telefon bimbit baharu yang dirosakkan adik lelakinya secara tidak sengaja beberapa minggu lepas.
“Mangsa mendakwa dipukul menggunakan tangan sebelum terjatuh ke longkang. Usaha mengesan saksi kejadian sedang dijalankan untuk membantu siasatan,” katanya menurut Bernama.
Shahril berkata, tiga pelajar itu direman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552 222.