‘Tak dan’ tengok bola, remaja meninggal dunia di Stadium Darul Aman

‘Tak dan’ tengok bola, remaja meninggal dunia di Stadium Darul Aman

Mangsa berusia 18 tahun rebah ketika berada di tempat duduk penonton bagi menyaksikan perlawanan antara Kedah dengan JDT semalam.

Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad, berkata semakan dengan keluarga mangsa mendapati remaja itu menghidap sakit jantung sejak kecil.
ALOR SETAR:
Remaja lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad, berkata remaja tersebut sebelum itu rebah ketika berada di tempat duduk penonton, kira-kira 7 petang.

“Remaja itu datang ke stadium bersama adiknya bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri semasa berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di stadium, untuk membawa remaja tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Siti Nor Salawati berkata, setibanya di Zon Kecemasan HSB, pegawai perubatan mengesahkan remaja tersebut telah meninggal dunia.

Beliau berkata, semakan dan temu bual ke atas waris mendapati, remaja tersebut merupakan seorang penghidap sakit jantung sejak kecil.

“Pihak perubatan HSB telah mengesahkan sebab kematian sebagai penyakit jantung sianosis kompleks, iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi.

“Polis menerima laporan berkenaan kematian remaja terbabit pada 8.18 malam dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian dan kematian diklafisikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Terdahulu, tular klip video berdurasi lima saat di media sosial memaparkan petugas perubatan di Stadium Darul Aman, Kedah bergegas membawa seorang remaja di atas pengusung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.