Kapal ‘hilang’ selepas berlanggar di perairan Johor

Kapal ‘hilang’ selepas berlanggar di perairan Johor

Maritim Malaysia berkata, kapal MT Ceres 1 dikesan meninggalkan kawasan pelanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik.

kapal
Keadaan kapal MT Hafnia Nile yang terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lagi kapal di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau semalam.
PETALING JAYA:
Sebuah daripada dua kapal yang berlanggar di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam “hilang” dari lokasi kejadian, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Zin Azman Mad Yunus berkata kapal MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Demokratik Sao Tome dan Principe didapati “hilang” ketika operasi mencari dan menyelamat disambung semula pagi tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat hari kedua bermula 7 pagi tadi bagi menyelamat kru kapal MT Ceres 1, namun kapal membawa minyak mentah itu dikesan meninggalkan kawasan pelanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

“Bagaimanapun, kita percaya kapal sepanjang 300m itu masih berada dalam perairan Malaysia,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Beliau berkata, semakan dan maklumat Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru serta Jabatan Laut Malaysia mendapati nombor pendaftaran maritim kapal (IMO) itu meragukan dan tindakan ia meninggalkan kawasan pelanggaran amat diragui kerana siasatan belum dimulakan.

Menurutnya, Maritim Malaysia sudah menggerakkan pesawat amfibia Bombardier CL415 MP bagi menjejaki MT Ceres 1 yang membawa 40 kru dan dipercayai dalam perjalanan ke Brunei.

Zin Azman berkata, sebuah lagi kapal, iaitu MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa muatan cecair kimia mudah terbakar “Naptha” dalam perjalanan dari Singapura ke Jepun, dikesan hanyut 52 batu nautika dari lokasi pelanggaran dan kini di timur Pulau Pemanggil, Mersing.

Katanya, 22 kru kapal itu yang diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme sudah dibawa ke republik itu untuk rawatan lanjut.

“Pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap sedia memantau keadaan MT Hafnia Nile berikutan kebimbangan risiko ia terus terbakar dan berlaku letupan.”

Beliau turut mengesahkan berlaku tumpahan minyak di sekitar lokasi pelanggaran, namun radius keluasan kawasan terjejas sedang dikenal pasti dan akan dipantau Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Laut Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.