Istiadat Pertabalan: PM sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17

Istiadat Pertabalan: PM sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17

Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat zahir taat setia tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung hari ini, di Balairung Seri Istana Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini.

“Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” katanya di Facebook.

Perdana menteri mewakili seluruh rakyat Malaysia juga menzahirkan ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing, dan pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.