2 kapal berlanggar di perairan negara, kata Maritim Malaysia

2 kapal berlanggar di perairan negara, kata Maritim Malaysia

Maritim Malaysia berkata, dua kapal itu bukan berlanggar dalam 'wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura'.

kapal
Maritim Malaysia mengesahkan kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 berlanggar di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada 6.55 pagi Jumaat. (Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 berlanggar di perairan Malaysia, bukannya dalam “wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura”.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Zin Azman Mad Yunus berkata pelanggaran dua kapal itu berlaku di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada 6.55 pagi semalam.

“Mengikut peta kita, ia jelas lokasi itu adalah kawasan perairan Malaysia. Sangat jelas. Batu Putih terletak 55 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Dakwaan media Singapura bahawa pelanggaran berlaku dalam ‘wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura’ adalah tidak benar,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Semalam, Maritim Johor dilapor menggerakkan operasi mencari dan menyelamat susulan pelanggaran kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura dalam kenyataan semalam pula berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari kru dua kapal itu yang terbakar di perairan Singapura.

MPA dilaporkan mendakwa kedua-dua kapal itu berada dalam kawasan mencari dan menyelamat maritim Singapura, kira-kira 55km dari timur laut Batu Putih.

“Sebuah kapal Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), RSS Supreme berada di sekitar tempat kejadian menghulurkan bantuan. Sebuah helikopter Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) juga dikerahkan dan sedang membantu memindahkan anak kapal,” kata MPA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.