2 budak disyaki diculik ditemukan selamat

2 budak disyaki diculik ditemukan selamat

Dua kanak-kanak perempuan yang tinggal berjiran itu ditemukan selepas sejam dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Polis Kuala Selangor Mohd Ambia Nordin berkata pihaknya sedang mengesan suspek menaiki Perodua Bezza yang didakwa melarikan dua kanak-kanak itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang ditemui selamat selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki menaiki kereta dalam kejadian di Jeram, Kuala Selangor, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Selangor, Mohd Ambia Nordin, berkata mangsa ditemui pada hari sama selepas sejam dilaporkan hilang pada 6.30 petang.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak yang tinggal berjiran itu sedang bermain di taman perumahan berkenaan.

“Polis telah bertindak menjalankan siasatan segera sejurus menerima laporan berkenaan.

“Lokasi kanak-kanak itu dijumpai berhampiran kawasan rumah mereka dan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, usaha sedang dilaksanakan bagi mengesan suspek dan mengenal pasti motif kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 369 kanun keseksaan dan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai diingatkan sentiasa mengawasi anak-anak yang berada di luar rumah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, tular berhubung kehilangan dua kanak-kanak yang dikatakan diculik lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.